Selangkah ke detik kemerdekaan merupakan saat yang perlu kita fikirkan betul-betul. Setelah 53 tahun kita merdeka, apa yang telah kita capai. Ke tahap mana kita gapai? Ya, memang kita bangga ada KLCC, ada KLIA, ada Litar Sepang, ada Putrajaya. Semuanya bersifat material semata-mata. Kita perlu sedar di Malaysia masih ada AUKU, ada ISA, ada racism yang menebal, ada ultra kiasu yang melampau, ada korupsi yang membarah, ada red tape yang menghalang, dan ada hak yang tertindas. Ini juga benih-benih kemerdekaan.
-antara monumen kemerdekaan
Lahiriah, semua negara bangga dengan kita. Kita berjaya diiktiraf sebagai 37 negara terbaik di dunia melalui survey oleh Newsweek. Namun, adakah ia benar-benar terbaik buat rakyatnya? Kita bukan mahu derhaka atau kufur pada nikmat, cuma mahukan perubahan agar kejayaan kita bukan hanya utk abad ini. Kita fikir sejenak, dahulu, kita pernah bersaing dengan Amerika Syarikat, negara Eropah, Korea dan Jepun dari aspek ekonomi. Namun, itu hanya sementara. Kini, kita terpaksa bersaing dengan Vietnam, Laos, Kemboja yang dahulu kita tinggalkan kebelakang. Mereka yang maju atau kita yang mundur? Persoalan ini perlu dikupas dengan rasional.
![]() | |
| NOT MY HAND!!(POLITICIAN AHA) |
Malaysia perlu berjimat. Penjimatan bukan lahir dari rakyat tetapi juga kerajaan. Rakyat bukan hamba kerajaan. Takkan semuanya rakyat yang kena buat. Makan ubi kayu pun, rakyat yang kena makan dulu. Ini tidak adil. Baru-baru ini, subsidi minyak ditarik 5 sen agar kerajaan dapat menjimatkan RM 750 juta. Namun, itu belum cukup lagi, kerajaan juga harus berjimat. Mengurangkan elaun-elaun menteri, mengurangkan pembaziran khazanah hutan, mengurangkan projek-projek mega dan melaksanakan ketelusan dalam pemberian kontrak supaya ketirisan tidak berlaku.
Dari aspek sosial, hak mahasiswa makin terancam. Hak sivil rakyat juga makin terabai. Silap sikit terus masuk ke dalam. Inikah kebebasan yang diuar-uarkan? Suara perlu didengar. Mahasiswa juga rakyat, mahasiswa juga punyai suara. Kita mahu mengidam UM menjadi seperti Harvard tetapi sistemnya masih tidak bebas. UiTM mahu jadi World class university tetapi autonominya disekat. Diskusi Student Power dimomokkan sebagai anti perpaduan sedangkan ia hanya pengkisahan sebuah sejarah.
Sosial Malaysia semakin menggila. Sikap kita sudah tidak lagi terbuka. Isu bangsa semakin menjadi-jadi seolah-olah kita baru merdeka semalam. PERKASA dengan hak Melayunya, DAP dengan hak sama ratanya. Mereka mula menjadi buta dan tuli tentang hak dan keistimewaan. Mana satu negara, mana satu bangsa. Bukankah kepentingan nasional lebih penting daripada bangsa?
![]() |
| Gereja dibom oleh anasir yang tak berguna |
Kita bersorak tentang One Malaysia tetapi belum tentu kita faham tentang isinya. Setiap masa ada saja iklan One Malaysia sehingga ia sudah menjadi zikir umum di televisyen. Namun, realitinya, ada surau yang disimbah cat, ada gereja yang dibaling bom dan ada pengetua yang menjadi rasis, ada saja pertikaian hak Bumiputera, ada saja penindasan bangsa dan macam-macam lagi. Di dada akhbar terpampang isu Melayu dan bukan Melayu diapi -apikan seperti mahu mencurah minyak ke dalam api. Semakin lama, kita semakin ego. Kita rasa kita mahu itu, kita mahu ini tanpa memikirkan hak orang lain. Ingat, Cina juga orang Malaysia, India juga orang Malaysia.
Sebenarnya sudah lama kita menjadi Satu Malaysia, sudah lama kita bersatu. Tapi sayang, hari ini kita makin berpecah. Kita menjadi jahil tentang kontrak sosial. Kita menjadi tuli mendengar suara rakyat, kita makin buta menilai kebenaran. Usah digadai perpaduan dek pergaduhan politik, usah digadai kebebasan demi mendapat undi dan usah ditaruhkan nasib mahasiwa dek sebuah legasi jumud. Mahasiswa harus main peranan dan bukan menjadi pak turut. Angka 53 sebenarnya mengingatkan kita tentang realiti yang perlu dihadapi. Persoalannya..Ke Mana Malaysia? Terbitkah sebuah fajar atau terbenamnya sebuah mentari..
p/s adakah ini kesudahannya..aku bukan mahu sokong parti tapi aku mahu sokong negara!!! Selamat menyambut kemerdekaan negara yang ke 53..








0 comments:
Post a Comment